SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan kira-kira RM50 juta setahun untuk membiayai subsidi feri yang menjadi penghubung penting penduduk di kawasan pesisir di negeri ini.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, keprihatinan kerajaan itu menjadikan kadar tambang feri hanya RM1 sekaligus mengurangkan beban rakyat yang menggunakan kenderaan awam berkenaan.

Usaha itu katanya, memudahkan penduduk bergerak dari satu tempat ke satu tempat sementara menunggu kerja pembinaan jambatan siap sepenuhnya.

“Kerajaan Sarawak amat mengambilberat keperluan rakyat. Selepas diluluskan peruntukan subsidi, penduduk hanya perlu membayar RM1 bagi setiap kenderaan manakala tambang percuma bagi motosikal, sekali gus meringankan beban rakyat,” katanya pada sesi pembentangan
Perkongsian Strategik : Pembangunan Infrastruktur pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga komited meneruskan pembinaan tujuh buah jambatan di laluan sedia ada antaranya, Batang Rambungan, Batang Lupar, Batang Saribas, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa dan Batang Igan.

Malah katanya, projek ‘Missing Link’ merangkumi Jalan Pasi, Sarikei, Tanjung Manis, Mukah termasuk Jambatan Kuala Kemena dan laluan kedua, Kuching Samarahan termasuk Jambatan Sungai Sarawak di Demak Laut juga sedang giat dilaksanakan.

“Kerajaan juga ketinggalan menaiktaraf jalan pesisir sepanjang 331 kilometer (km) yang merangkumi 23 pakej dari Sematan hingga utara Sarawak,” katanya.