KUCHING: Sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh dapat membina ikatan perpaduan pelbagai kaum di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bukan sahaja diraikan oleh komuniti Cina tetapi juga diraikan bersama-sama kaum lain.

“Ini perkara yang menarik yang dapat kita lihat di Sarawak. Saya tahu kerana setiap tahun saya dijemput ke festival ini sama ada di Kuching, Sibu dan sebagainya.

“Jadi ini perkara yang mencerminkan sifat saling memahami dan toleransi dalam komuniti kita dan ia merupakan perkara yang sangat unik.

“Perkara seperti ini perlu dipelihara untuk memastikan perpaduan dan kesefahaman dalam pelbagai komuniti menjadi semakin baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perayaan Pertengahan Musim Luruh 2020 di Taman Kelaziman Baharu MBKS di sini, semalam.

Menteri Belia dan Sukan itu turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee berkata, Perayaan Pertengahan Musim Luruh ini merupakan perayaan kedua terbesar untuk komuniti Cina selepas Tahun Baharu Cina.

“Sambutan ini juga melambangkan musim menuai.

“Untuk mempertahankan keunikan budaya, ia terpulang kepada diri kita sendiri bagaimana kita akan melindunginya,” jelas beliau lagi.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee turut hadir.

Perayaan Pertengahan Musim Luruh 2020 merupakan anjuran MBKS dan Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.