SIBU: Ketua Wanita Parti PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah berharap Konvensyen Parti PBB Zon Tengah hari ini dapat menyakinkan perwakilan agar berkeyakinan tinggi menghadapi PRN akan datang.

Menurutnya, GPS perlu menang dengan cemerlang kerana ia pertama kali GPS bertanding diketuai Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kepemimpinan Ketua Menteri harus kita sokong kerana kita sudah lihat komitednya beliau membangunkan Sarawak.

Ini terbukti apabila beliau berjaya mempertahan hak Sarawak sehingga berjaya mendapat kembali cukai jualan negeri.

“Saya berharap mesej dalam konvensyen ini berjaya disampaikan kepada pengundi di setiap kawasan demi masa depan Sarawak yang cerah, ditambah dengan senario politik Sarawak yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak semasa meninjau raptai Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di Hotel Kingwood di sini, semalam.

Fatimah berkata, Parti PBB mempunyai pemimpin yang fokus dan saling menyokong dalam satu pasukan bagi memastikan Sarawak menjadi negeri maju pada 2030 tercapai.

Dalam pada itu katanya, beliau sering turun padang ke Dalat serta melakukan mesyuarat melalui aplikasi Zoom untuk memastikan Pergerakan Wanita PBB bersedia menghadapi PRN.

Beliau turut memberitahu, tumpuannya kini untuk mendekatkan wanita dengan politik termasuk membantu mereka yang memerlukan, di samping memastikan jumlah pengundi dapat dijejaki menerusi kajian terperinci.

“Setiap kali pilihan raya, jumlah penglibatan wanita juga masih dapat dihitung dengan jari.

“Walaupun perkara itu berlaku, kita tidak mahu fikirkan calon lelaki atau wanita yang bertanding, tumpuan kita hanya mahu pastikan GPS menang.

“Perkara ini menjadi kriteria utama agar kita dapat menang kerusi untuk GPS supaya dapat membentuk kerajaan dalam keadaan politik yang stabil dan tumpuan utama adalah untuk memastikan pembangunan disampaikan kepada rakyat,” ujarnya.