KUALA LUMPUR: British Airways telah menyambung semula penerbangan ke Kuala Lumpur mulai hari ini selepas enam bulan terhenti.

Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan empat penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur, memberikan pelanggan di Malaysia pilihan penerbangan yang selesa bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan terus ke United Kingdom (UK) atau laluan penerbangan lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Jualan bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah British Airways, Moran Birger berkata syarikat penerbangan itu akan membawa semua pelanggannya ke London dan laluan penerbangan lain dalam rangkaian penerbangannya sekarang.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada sekatan perjalanan udara dan larangan kemasukan serta sekatan sambungan penerbangan, dokumen yang diperlukan dan syarat kemasukan diperlukan.

Beliau berkata pelanggan boleh membuat tempahan secara langsung dengan British Airways dengan melayari laman web, ba.com atau dengan menghubungi ejen pelancongan mereka.

“Setelah sekian lama keadaan ketidakpastian yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 di peringkat global, kami gembira dapat menyediakan empat penerbangan dalam seminggu dari Kuala Lumpur ke London Heathrow, United Kingdom (UK).

“Kami tahu ramai pelanggan kami di Malaysia telah menunggu untuk bertemu semula dengan orang yang tersayang atau melakukan urusan perniagaan, justeru penerbangan ini memberi peluang kepada mereka melakukannya menerusi perkhidmatan penerbangan disediakan British Airways ini,” katanya.

Sebagai tambahan, sebagai pencegahan terhadap penularan COVID-19, British Airways telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk memastikan keselamatan pelanggannya dan meminta pelanggan untuk mematuhi langkah-langkah baharu ini bagi kesejahteraan semua orang yang melakukan perjalanan tersebut.

Ini termasuk daftar masuk secara dalam talian, memuat turun pas masuk untuk ke balai pelepasan dan mengimbas sendiri pas masuk mereka di pintu pelepasan lapangan terbang; mematuhi penjarakan fizikal dan menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan di lapangan terbang dan memakai pelitup muka pada setiap masa dan membawa bekalan pelitup muka mencukupi untuk menggantikannya setiap empat jam untuk penerbangan jarak jauh.

Pelanggan juga diminta untuk tidak melakukan perjalanan udara jika mereka mempunyai gejala COVID-19, dan kru kabin pula telah diarahkan supaya memakai peralatan pelindung diri dan perkhidmatan menyediakan makanan cara baharu akan mengurangkan masa berinteraksi dengan pelanggan.

Pelanggan juga mesti memastikan bahawa mereka mempunyai semua yang mereka perlukan termasuk bagasi kabin sebelum berlepas dan sekiranya boleh, mereka diminta meletakkan bagasi kabin di bawah tempat duduk di hadapan mereka.

Syarikat penerbangan akan membersihkan semua permukaan utama dalam pesawat termasuk tempat duduk, skrin di kerusi, taling pinggang keselamatan dan dulang membawa makanan pada setiap penerbangan dan setiap ruang dalam pesawat dibersihkan sepenuhnya.

Sistem pengudaraan di semua pesawat British Airways dikitar semula selepas melalui tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA) yang menghapuskan bakteria mikroskopik dan virus dengan berkesan pada kadar daripada 99.9 peratus, setaraf dengan standard bilik pembedahan di hospital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata British Airways akan menjadi syarikat penerbangan ketiga yang menawarkan laluan penerbangan ke Eropah.

MAHB merasa lega kerana banyak syarikat penerbangan antarabangsa telah menyambung semula operasi penerbangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), katanya.

“Sehingga kini, kami mempunyai sekitar 33 syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA. MAHB akan terus melakukan yang terbaik dalam memastikan memberikan pengalaman lapangan terbang yang selamat untuk penumpang kami.

“MAHB mematuhi sepenuhnya garis panduan ditetapkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) serta pihak berkuasa tempatan berkaitan semua protokol kesihatan dan keselamatan,” kata Mohd Shukrie.– BERNAMA