KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menasihati rakyat Sarawak untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi Covid-19.

Menurutnya, masyarakat di negeri ini perlu menjadikan peningkatan kes yang berlaku di Sabah sebagai pengajaran. “Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terdapat peningkatan kes positif Covid-19 berlaku di negeri itu dan hari ini sahaja (1 Oktober) negara merekodkan 260 kes positif Covid-19.

“Sehubungan itu, saya khuatir kerana selepas PRN Sabah, Sarawak juga akan berhadapan dengan PRN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perayaan Pertengahan Musim Luruh 2020 di Taman Kelaziman Baharu MBKS di sini baru-baru ini.

Tambahnya, dalam keadaan ini, semua pihak perlu memberikan fokus kepada Covid-19 dan tidak mahu wujud kluster baharu di Sarawak.

“Bagaimanapun, kita percaya bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) tegas dalam menjaga masyarakat di negeri ini.

“Insya-Allah, kita akan dilindungi daripada perkara sedemikian tetapi kita semua perlu sentiasa berjaga-jaga walau di mana kita pergi termasuk perayaan dan sebagainya.

“Sekiranya PRN Sarawak diadakan kelak, kita berharap tiada peningkatan kes Covid-19 berlaku di negeri ini seperti apa yang telah berlaku di Sabah,” tegasnya.