PENJAGA gol berpengalaman, Mohd. Iqbal Suhaimi tetap menjadi pilihan utama untuk menjaga gawang bagi pertemuan penting menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini (4 Oktober).

Penolong Jurulatih Kuching FA, Shahrizan Sahari menegaskan, pihaknya lega apabila Mohd. Iqbal Suhaimi telah pulih dari kecederaan ringan dialami ketika menentang Negeri Sembilan seminggu lepas.

“Dia (Mohd. Iqbal Suhaimi) telah pulih dari kecederaan ringan pada kaki kiri seminggu lepas dan akan menjadi pilihan untuk menjaga gawang bagi pertemuan penting menentang JDT II nanti,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Shahrizan berkata, pengalaman yang dimilikinya amat ditagih dalam mengekang pintu gol dari dibolosi pasukan lawan. “Kita turun dengan misi mahu meneruskan kecemerlangan untuk mendapat keputusan positif.

“Justeru, setentunya barisan kesebelasan terbaik yang akan dipertaruhkan kelak,” tambah Shahrizan lagi.

Beliau mengakui, semua pemain utama bebas dari sebarang kecederaan selain Mazwandi Zakeria yang tidak akan beraksi kerana masih digantung perlawanan ekoran menggumpul tiga kad kuning.

“Ketiadaan Mazwandi Zakeria tidak menimbulkan masalah besar kerana pemain simpanan yang ada mampu mengambil alih tugas diposisi tersebut,” jelasnya.

The City Boys sesungguhnya berharap dapat mencatat keputusan positif pada pertemuan dengan JDT II malam esok untuk terus memperbaiki kedudukan sekali gus mengintai slot beraksi dalam kempen Piala Malaysia 2020.

Skuad Kuching FA kini berada di tangga ke-6, menggumpul sepuluh mata.