SIBU: Sektor pertanian negeri memerlukan pemain industri yang lebih komited dan inovatif untuk menjadikan bidang ini terus maju ke peringkat yang tertinggi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadi pengeksport produk makanan bersih menjelang 2030.

“Kita memerlukan lebih banyak tenaga dan komitmen daripada semua pihak dalam industri ini.

“Hal ini kerana kita perlu berusaha meningkatkan pengeluaran bekalan makanan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi beberapa tempat perdagangan seperti Sarawak Fruit Enterprise, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan buah tempatan untuk durian, cabai, rambutan, isu, cempedak dan lain-lain di sini, semalam.

Menurutnya, beliau amat kagum dengan pencapaian syarikat di Wawasan Road di sini yang dimiliki seorang usahawan muda, Chuo Nang Ling, yang merupakan seorang pelatih jurutera elektronik.

Jelas beliau, syarikat ini mampu menjadi syarikat utama di Sibu sebagai pengeluar buah-buahan seperti durian dan dabai khususnya pada masa akan datang.

Untuk mendapatkan pasaran yang meluas Uggah mencadangkan supaya Chuo mempromosikan produknya kepada rakyat Sarawak di Semenanjung Malaysia seperti di Johor bagi memperkenalkannya kepada masyarakat luar.

Ujarnya lagi, dengan penerimaan beberapa produk tempatan di Singapura dengan bantuan Statos, Sarawak berpotensi meluaskan pasaran perdagangan dan juga industri pelancongan.

Sementara itu, Chuo yang memulakan perniagaannya pada Januari 2018 itu berkata, dia menghasilkan beberapa produk termasuk buah sejuk beku, buah pulpa, pes buah-buahan, aiskrim durian, keropok dan lain-lain.

Menurutnya, beliau mendapatkan bekalan buahan-buahan daripada petani kawasan Ngemah, Bintangor, Julau, Sarikei, Song dan Stapang.

Tambah Chuo, beliau turut menerima beberapa input dari Jabatan Pertanian dalam perniagaannya serta mendedahkan bahawa sasarannya adalah menjual sekitar lima tan pes durian pada tahun depan.

Hadir sama Setiausaha Politik Lidam Asaan (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr Richard Rapu dan Tapa Ata (kedua-dua Pejabat Ketua Menteri).