KUCHING: Sekatan perjalanan berikutan COVID-19 telah memberi peluang kepada sajian paling popular di Sarawak untuk memasuki pasar raya Singapura dan menawan selera rakyat negara itu, selain dijangka mewujudkan trend makanan baharu, susulan perjanjian eksport Pes Laksa Sarawak.

Menurut Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Singapura dalam kenyataan, perjanjian pengedaran itu dimeterai antara MUSC Industries Sdn Bhd (MUSC), pengeluar makanan diproses berpangkalan di Sarawak dan pengedar Bountiful Harvest Pte Ltd, syarikat milik rakyat Sarawak yang berpangkalan di Singapura.

“Tahun ini, STATOS melihat situasi di Singapura — seperti tempoh pemutus litar — telah mencetuskan minat terhadap Laksa Sarawak. Kami berharap ini akan menjadi titik perubahan untuk memberi inspirasi kepada trend makanan baharu dan hidangan fusion untuk sajian Sarawak.

“Banyak gerai Laksa Sarawak di Singapura mencatatkan peningkatan jualan tiga kali ganda sejak beberapa bulan lepas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan.

STATOS membuka laluan kepada lebih banyak pengeluar makanan Sarawak untuk terlibat dalam perjanjian perdagangan baharu melalui aktiviti dan perkhidmatan padanan perniagaan untuk memadankan entiti Sarawak dan Singapura.

“Memandangkan sektor makanan diproses Sarawak mempunyai potensi yang besar di Singapura, STATOS mengalu-alukan kemasukan mana-mana barangan makanan diproses Sarawak yang mempunyai pembungkusan berkualiti dan sijil yang diperlukan,” kata Chew.

Sementara itu, Pengasas Bersama MUSC Vincent Chong berkata syarikat berhasrat untuk mempopularkan sajian Sarawak di pasaran Singapura, bermula dengan pes Laksa Sarawak, yang akan memberi laluan kepada produk lain seperti Sambal Belacan, Kari Kepala Ikan dan pes Masak Merah.