APABILA disebut suku kaum Penan, pasti perkara yang terlintas di fikiran adalah gambaran masyarakat yang hidup dan tinggal jauh di hujung pedalaman.

Kaum Penan merupakan suku peribumi yang tinggal di hutan berhampiran Limbang, Bintulu dan kawasan Ulu Baram di Bahagian Miri.

Amalan atau gaya hidup mereka yang berpindah-randah antara yang sinonim dengan etnik minoriti itu.

Namun kini, seiring dengan arus perubahan zaman, masyarakat Penan sudah mula menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar.

Mereka secara perlahan-lahan mengorak langkah ke luar dan mencipta nama dalam pelbagai bidang, sama seperti masyarakat lain.

Ini jelas menunjukkan mereka juga menyedari bahawa untuk maju ke hadapan, perubahan itu pasti dan satu kemestian.

Mana ada yang tidak menginginkan kesenangan dan perubahan yang lebih baik dalam kehidupan.

Baru-baru ini, sejumlah pelajar Penan yang majoritinya dari peringkat pengajian tinggi menerima bantuan dan biasiswa pendidikan daripada kerajaan.

Pada majlis penyerahan bantuan itu, Adun Telang Usan Dennis Ngau berkata, masyarakat Penan semakin memahami bahawa pendidikan penting sama-sama maju dengan kaum lain di negeri ini.

Selain itu, Presiden Petipun Temenggung Datuk Hasan Sui Hasan turut mendedahkan, seramai 250 daripada 20,000 orang Penan di Sarawak kini telah berjaya bergelar graduan.

Angka itu mungkin kedengaran kecil, tetapi jika kita mengambil kira aspek lain seperti perbandingan dengan masa dahulu, kekangan yang dihadapi dan gaya hidup mereka sebelum ini, ia sebenarnya memegang nilai yang besar. Apabila difikirkan, mungkin keadaan yang melambatkan proses kesedaran itu.

Masyarakat Penan tinggal di tempat yang terpencil bahkan terlindung jauh daripada orang lain. Untuk bersekolah, mereka mungkin perlu keluar dari kawasan mereka dan terpaksa pergi ke tempat lain.

Bayangkan, dengan keadaan tidak pasti, kita terpaksa berdepan dengan kelainan dan dunia asing. Ia tidak dinafikan menimbulkan kesangsian atau ketakutan.

Sekarang, dengan jumlah sekolah yang banyak dan mula ditumpukan di kawasan luar bandar, sedikit banyak ia memberi sinaran kepada mereka.

Kadang-kadang, yang perlu kita lakukan adalah menyediakan satu platform untuk mereka memulakan langkah pertama.

Jadi, sekolah di luar bandar merupakan aset penting yang perlu dititikberatkan kerana pendidikan merupakan kunci utama untuk melakar masa depan dan jalan kehidupan yang berbeza daripada ibu bapa dan nenek moyang mereka.

Namun, sampai bilakah mereka dapat terus bergantung kepada hasil hutan dan sungai untuk menyara kehidupan? Apatah lagi, dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat dan landskap ekonomi yang berubah setiap detik.

Dahulu, mungkin orang yang memiliki tanah merupakan orang kaya dan berduit, tetapi kini orang kaya di dunia adalah orang yang membangunkan idea dengan ilmu.

Janganlah kerana masalah keciciran disebabkan tidak pergi ke sekolah, masyarakat Penan terus hidup dalam kemunduran dan tinggal di tepi melihat orang lain membangun.

Akhirnya, kini masa untuk masyarakat Penan diberikan perhatian lebih, terutama dalam aspek pendidikan. Dari titik permulaan itu, akan lahir generasi Penan yang lebih arif dalam bidang-bidang lain.