SIBU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kuala Rejang kini melakukan persiapan yang rapi sejak parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri 2016 lalu.

Adunnya Datuk Len Talif Salleh ketika ditemui Suara Sarawak berkata, pihaknya bersiap sepenuhnya sebaik sahaja memenangi kerusi pada PRN lalu.

“Sebaik sahaja kita menang, kita mulai memperluaskan jaringan kita dengan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Jadi, ia juga bukan hanya berlaku semasa pilihan raya.

“Kami terus memberikan semua sokongan dan semua bantuan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di Hotel Kingwood di sini, semalam.

Dalam pada itu, sebagai ketua penganjur utama untuk pameran dan gerai jualan di konvensyen tersebut, Len menjelaskan, kira-kira lebih 15 agensi dan tujuh kementerian yang terlibat dalam pameran tersebut.

Menurutnya, idea mengenai pameran itu untuk memberitahu perwakilan di wilayah tengah mengenai inisiatif kerajaan dalam hal penyediaan infrastruktur dan program.

Selain itu katanya, ia bertujuan untuk memberi maklumat mengenai bantuan pertanian yang diberikan oleh kerajaan untuk mereka yang berminat.

“Kerajaan memberikan sokongan kewangan, sokongan teknikal dan memberi nasihat.

“Melalui sokongan kewangan kerajaan, sokongan teknikal dan nasihat diberi agensi yang berkaitan.

“Kita mahu perwakilan berkongsi maklumat dengan masyarakat di kawasan mereka.

“Oleh itu, idea kita ini adalah untuk menjemput pengusaha, kita menyediakan kawasan menjual produk mereka termasuk melakukan promosi hingga dapat membina rangkaian bagi mengembangkan perniagaan dalam talian,” katanya lagi.

Beliau berharap perwakilan dapat memperoleh maklumat mengenai kemudahan yang disediakan baik daripada semua bidang, bukan hanya pertanian tetapi juga kebajikan.