KUCHING: Dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pengurusan institusi masjid dan surau, Majlis Islam Sarawak menitikberatkan standard penarafan bintang yang dilaksanakan di seluruh masjid sejak 2017.

Yang Di-pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha berkata, standard itu akan menjadi penanda aras terhadap prestasi masjid di Sarawak dari segala sudut iaitu pentadbiran, pengurusan, kebersihan dan keceriaan.

“Pelancaran inisiatif lima bintang khas bagi tandas dan tempat wuduk patuh syariah.

Ia dapat menjadikan masjid dan surau di negeri ini diuruskan dengan baik serta mempunyai pengurusan dan pentadbiran yang baik.

“Walaupun masjid dibina dengan baik dan cantik namun jika masjid tersebut tidak terurus, tandasnya kotor, tempat wuduknya tidak selesa, pasti akan memberi imej buruk kepada masjid,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Ke Arah Masjid Lima Bintang, semalam.

Tambahnya, sejak 2019 dua sahaja daripada 234 masjid di Sarawak mendapat pengkitirafan lima bintang.

“Oleh itu Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP) akan berusaha dengan lebih komited bersama-sama Majlis Islam Sarawak(MIS) dan Jais untuk menambah baik masjid atau surau dalam mencapai taraf yang ditetapkan.

“Justeru, penting bagi semua individu untuk bekerjasama dalam memberi komitmen dalam mengekalkan taraf bintang masjid supaya tidak semakin merosot serta menjadi contoh kepada institusi lain,” ujarnya.

Beliau turut menambah bahawa, Jais dengan kerjasama MIS akan memperkasakan penyebaran dan pendekatan ilmu melalui masjid yang terdapat di Sarawak.

“Melalui biro pendidikan, kita akan mengadakan satu program pendidikan berasaskan komuniti yang ia melibatkan pendidikan kanak-kanak, belia hingga dewasa. “Sejak dulu lagi, sememangnya masjid merupakan pusat penyebaran ilmu, namun beberapa pendekatan perlu ditingkatkan untuk menarik orang awam ke masjid dan membina jati diri insan mereka sejak awal lagi,” katanya.