KOTA TINGGI: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di seluruh negara sudah sedia untuk diaktifkan semula sekiranya pandemik berkenaan terus mencatatkan peningkatan kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 36 pusat sedemikian di 118 hospital kerajaan serta Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) selain pusat-pusat lain yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, Selangor.

“Kita sentiasa bersedia (untuk mengaktifkan pusat kuarantin) dan renovate tempat seperti ILKKM.

“Kalau kes bertambah kita reactivate,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Sesi Townhall Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan COVID-19 Bersama Pemimpin Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI), di sini hari ini.

Katanya keseluruhan pusat kuarantin tersebut menyediakan 3,467 katil dan kementerian akan berbincang dengan institut latihan lain untuk dijadikan pusat kuarantin tambahan sekiranya keadaan memerlukan.

Sementara itu, Dr Adham berkata kira-kira 20 juta individu direkodkan sudah mendaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera dengan satu bilion ‘check-in’ dicatatkan di seluruh negara.

“Ada dua faktor yang menjadikan kita pantas mengesan COVID-19, yang pertama ialah kebijaksanaan dan keberkesanan pasukan kita mengesan, dan keduanya, kesediaan 58 makmal kita dalam menjalankan ujian termasuk swasta,” katanya.