KETUA Penyelaras Skuad Bola Sepak Sukma, Phillip Jabu memberitahu, pasukannya akan menyertai Liga Kejuaraan Kelab Sultan Sulaiman 2020 (Piala Dato’ Mokhtar Ahmad) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 19 Oktober ini.

Menurutnya, liga berkenaan dilihat amat penting sebagai pendedahan kepada pemain untuk perlawanan kompetitif. “Kita melihat liga berkenaan sebagai landasan penting bagi pemain meningkatkan prestasi.

“Pada masa sama peluang untuk mereka merasai aksi kompetitif terutama berdepan pasukan yang dibarisi ramai pemain berpengalaman,” katanya kepada Suara Sarawak.

Lantaran itu, diharap pemain dapat menggunakan peluang sepanjang mengharungi perlawanan dalam liga itu kelak dengan sebaik mungkin.

Phillip pada masa sama juga berharap pihaknya akan dapat melihat kemampuan sebenar para pemain. Dalam pada itu, Phillip turut menegaskan, sesi latihan pemain berjalan seperti biasa mengikut terma baharu berpandu kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Apa yang pasti, sesi latihan pemain berjalan lancar setakat ini mengikut SOP ditetapkan,” katanya. Beliau berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan nama pemain yang akan mewakili Sarawak mengharun- gi temasya dwi tahunan di Johor Bahru kelak.