KUCHING: Orang ramai terutama kalangan pelajar, ibu bapa, dan guru dijemput untuk menghadiri satu taklimat khusus berhubung pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), yang dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan-persatuan Cina bahagian Kuching, Samarahan dan Serian serta Unit Sumber Manusia Negeri Sarawak (SHRU), di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Selasa ini.

Presiden Persekutuan itu Datuk Richard Wee berkata taklimat berkenaan akan merujuk kepada pengambilan pekerja dalam sektor awam negeri, khususnya bagi mereka yang berkelulusan UEC, namun menurutnya selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani pandemik COVID-19 jumlah penyertaan dihadkan kepada 200 peserta sahaja.

Beliau berkata pihaknya telah merujuk kepada SHRU selepas mendapat maklumat bahawa secara umumnya apabila jawatan kerajaan diiklankan, sambutan dari pemegang UEC mahupun para pelajar yang berkelulusan dari sekolah Cina, tidak menggalakkan.

“Jika mereka tidak memohon, ia bermakna tidak banyak pilihan yang boleh dibuat untuk pengambilan ke sektor awam,” katanya dalam persidangan media di sini Sabtu.

Menurutnya pihak persekutuan itu juga meminta supaya SHRU membekalkan mereka dengan maklumat mengenai pemegang UEC yang telah diambil bekerja di sektor awam, supaya mereka dapat dijemput sama menghadiri taklimat itu untuk berkongsi pengalaman mereka.

Richard Wee berkata sekiranya sesi taklimat ini mendapat sambutan yang positif, persekutuan itu berharap taklimat yang serupa boleh diadakan di bandar-bandar lain di Sarawak seperti Sibu, Miri dan Bintulu.– BERNAMA