KUCHING: Ceramah kerjaya akan diadakan Selasa ini untuk menarik minat lebih ramai lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menyertai perkhidmatan awam Sarawak.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee berkata, pihaknya bersama-sama Unit Sumber Manusia Negeri akan menjemput pelajar, ibu bapa dan guru untuk menghadiri ceramah tersebut.

Menurutnya, pihaknya menerima maklum balas kurang memberangsangkan daripada pelajar UEC dan sekolah Cina yang lain mengenai pengisian jawatan perkhidmatan awam meskipun telah diiklankan di akhbar.

“Kita tidak mahu kata, mereka akan memilih kategori kaum yang berlainan, tetapi jika anda tidak memohon, mereka (Unit Sumber Manusia Negeri) tidak mempunyai kelompok dan pilihan untuk memilih juga,” katanya.

Wee berkata sedemikian pada sidang media di Pejabat Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini, semalam.

Tambahnya, ceramah tersebut diadakan di Auditorium MBKS mulai jam 6.30 petang hingga 9.30 malam dengan kehadiran 200 peserta sahaja.

Jelasnya, ceramah yang akan disampaikan oleh Unit Sumber Manusia Negeri akan menyentuh mengenai persediaan untuk temu duga, sementara ceramah penjawat awam akan berkongsi pandangan mengenai sektor perkhidmatan awam dan sesi soal jawab.

“Sekiranya ceramah ini mendapat maklum balas yang baik, kita akan anjurkan ceramah seperti ini di Bahagian yang lain pula seperti di Sibu, Bintulu dan Miri.

“Kita akan meminta kepada persekutuan di Sibu, Bintulu dan Miri untuk menganjurkannya. Kita juga akan menubuhkan jawatankuasa penganjur,” katanya lagi.

Dalam pada itu Wee berkata, pihaknya turut meminta Unit Sumber Manusia Negeri untuk memaklumkan jumlah lepasan UEC dan SPM yang telah dilantik menjawat perkhidmatan awam.

“Jika mereka boleh memberikan maklumat itu kepada kami, kami mahu pihak media menemu ramah mereka untuk tujuan perkongsian pengalaman,” katanya