TATAU: JKKK rumah panjang di kawasan Dun Kakus disaran menubuhkan Biro Ekonomi di rumah panjang masing-masing. Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, penubuhan biro itu penting sebagai platform untuk membangunkan ekonomi rumah panjang.

“Ini termasuk merangka dan merancang kegiatan ekonomi rumah panjang bagi menaik taraf sosioekonomi penduduk. “Dengan wujudnya jawatankuasa (Biro Ekonomi), ia dapat bertindak sebagai penggerak utama dalam merancang pembangunan ekonomi di rumah panjang masing-masing,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Norma Sanggat, Jalan Samarakan, semalam.

Menurutnya, salah satu pendekatan untuk meningkatkan ekonomi penduduk rumah panjang adalah melibatkan diri secara aktif dalam sektor pertanian dan kraf tangan selain ternakan kelulut.

Pada masa yang sama, Adun Kakus itu turut menasihati penduduk supaya menubuhkan Biro Keselamatan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk