KAPIT: Kerajaan Sarawak bakal menjadikan Kapit sebagai salah satu destinasi penggambaran filem dan berusaha untuk memperkenalkan Kapit di mata dunia melalui stesen televisyen nasional terbaharu Sarawak, TVS.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian setelah mengagumi keindahan dan keunikan muka bumi Kapit yang menarik di sepanjang laluan jalan raya baharu dari Sibu ke Kapit semasa menggunakan motosikal berkuasa tinggi bersama rombongan semalam.

“Jadi, saya telah memberitahu Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan kami Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kita akan menyiarkan kawasan yang indah di Kapit ini di TV kita.

“Kedua, mungkin kita juga dapat menjemput pembuat filem ke Kapit dan melakukan penggambaran kerana pemandangan di sini sangat indah,” katanya ketika berucap merasmikan Kapit Town Square di sini semalam.

Beliau menambah adalah lebih baik filem yang akan dihasilkan tersebut melalui kewujudan TVS akan berkisar mengenai pahlawan Kapit kerana ia dapat menceritakan kisah sejarah Kapit.

“Saya dapat katakan demikian kerana sekarang Sarawak sudah mempunyai stesen TV sendiri.

“Saya juga menjemput Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk melancarkan TVS pada 10 Oktober ini, dan orang ramai dapat mengaksesnya di Astro saluran 122,” katanya lagi.

Selain itu, menerusi kewujudan TVS tersebut, katanya aspek kesenian dan kebudayaan Sarawak dapat dipersembahkan dengan lebih meluas terutamanya kepada penonton di luar Sarawak.

“Menerusi TVS ini, kita juga akan bertukar maklumat dengan pihak luar,” jelasnya lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Adun Sebuyau Datuk Julaihi Narawi dan Adun Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion.