KAPIT: Kerajaan Sarawak memberi jaminan seluruh kawasan di sepanjang Batang Rajang akan dihubungkan melalui akses jalan raya pada 2024.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak kini sedang berusaha membangunkan seluruh kawasan dengan jalan raya dan jambatan untuk kemudahan rakyat.

“Kini Matu, Daro, Mukah, Tanjung Manis, Igan, Sibu ke Kapit telah kita bina jalan dan dari Kapit ke Sungai Mujong, Sungai Mujong ke Baleh, Baleh ke Belaga hingga Bintulu juga akan dihubungkan akses jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kapit Town Square di sini semalam.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga sedang membina beberapa buah jambatan seperti Jambatan Igan, Jambatan Lassa, Jambatan Paloh dan banyak lagi.

“Kita harus membina jambatan ini untuk menghubungkan laluan yang dipisahkan sungai.

Jadi menjelang 2024, dari hujung Batang Rajang hingga ke Hulu Rajang akan dihubungkan melalui jalan raya dan jambatan,” ujarnya.

Katanya, Kerajaan Sarawak memiliki pendapatan tambahan hasil daripada pembayaran cukai jualan negeri (SST) lebih RM3 bilion dan ini dapat digunakan untuk memajukan Sarawak.

“Dalam tiga tahun ini, saya sudah berjaya mendapatkan pendapatan tambahan untuk negeri ini.

Sekiranya anda memberi saya mandat lima tahun lagi, maka lebih banyak pendapatan untuk Sarawak.

“Ini bukan main-main, tetapi ini adalah betul dan saya percaya bahawa kita dapat membangunkan seluruh wilayah Sarawak,” kata Abang Johari lagi.