KUCHING: Masyarakat diingatkan agar sentiasa peka dan berhati-hati terhadap aktiviti penipuan Macau Scam, tegas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (KBSJK) Padawan ASP Tina Manchu.

Beliau dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa penipuan tersebut merupakan aktiviti jenayah terancang.

Menurutnya, sekolah penipuan bagi tujuan melatih ahli-ahli sindiket dikenal pasti wujud seperti yang disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob dalam sidang media baru-baru ini.

“Ahli sindiket ini dilatih selama sebulan di Malaysia sebelum dihantar ke Thailand dan Kemboja untuk melakukan penipuan terhadap warga tempatan.

“Diharap orang awam lebih berhati-hati dan peka dengan modus operandi atau jenayah berkaitan penipuan Macau Scam ini,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan agar individu yang menerima panggilan mencurigakan untuk menghubungi balai polis terdekat ataupun KBSJKD Padawan untuk pengesahan berhubung talian.

“Pihak awam boleh menghubungi kami di talian 013-7711258 atau nombor WhatsApp Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) di talian 013-2111222.

“Bagi semakan kes penipuan kewangan sila layari portal rasmi CCID di pautan http://ccid.rmp.gov. my/semakmule/ untuk maklumat terkini,” ujarnya.