SERIAN: Tindakan dua individu lelaki cuba menyeludup dua laras senapang angin dari Indonesia menerusi laluan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat berjaya ditumpaskan Angkatan Tentera Malaysia(ATM), semalam.

Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, kejadian sekitar jam 3.30 petang itu menyaksikan suspek bertindak memecut laju motosikal dinaikinya menuju ke sempadan Malaysia-Kalbar selepas terserempak dengan kenderaan kumpulan peninjau.

Menurutnya, kumpulan peninjau terdiri daripada pasukan Batalion Kesebelas Rejimen Askar Melayu Diraja(11 RAMD) selaku petugas Op Benteng ketika kejadian diatur gerak mengawasi lorong-lorong tikus dan gajah di Sektor Balai Ringin.

Katanya, pasukan operasi bertindak mengejar motosikal tersebut namun suspek berjaya melarikan diri dengan memecut laju motosikalnya ke kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Suspek telah mencampakkan dua laras senapang angin ke pinggir kawasan ladang sawit Tetangga Akrab sebelum melarikan diri daripada lokasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati senjata terbabit dipercayai diperoleh daripada negara seberang untuk digunakan dalam aktiviti memburu,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, kedua-dua senjata yang dianggarkan bernilai RM1,000 tersebut telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk tindakan siasatan lanjut.

Beliau dalam pada itu menegaskan pihaknya sentiasa mempunyai tahap kesiagaan tinggi dalam mengawal sempadan negara dari sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.

Tambahnya, ia termasuk kawalan dalam jenayah berkaitan pencerobohan dan penyusupan masuk secara haram bagi mengekang penularan wabak Covid-19 daripada terus berlaku.