E-SUKAN kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia.

Ia kini sebagai hobi yang digilai ramai.

Ia juga sinonim dengan permainan video seperti Pubg Mobile, Mobile Legend dan banyak lagi yang dimainkan secara dalam talian.

Jika kita lihat, dengan penggunaan teknologi yang semakin berleluasa e-sukan ini bukan sahaja diceburi oleh golongan belia tetapi juga kanak-kanak.

Seawal usia 12 tahun, ada yang sudah mahir dalam permainan video, malah ada yang lebih awal lagi.

Yang pasti, permainan teknologi ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk kanak-kanak, warga emas dan sebagainya, tetapi apa yang membezakan ialah tahap kemahiran dan platform mereka.

Di Malaysia, termasuk Sarawak permainan video atau e-sukan ini semakin diketengahkan oleh beberapa pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan telah mendapat sokongan kerajaan.

Bagaimanapun, tidak semua masyarakat memandang positif terhadap e-sukan ini dan ada yang menganggap ia melalaikan.

Itu hakikat yang berlaku dalam dunia kita kini, tidak semua orang bersetuju dengan satu perkara.

Di negara kita, hanya segelintir yang menjadikan ia sebagai kerjaya dan ia sangat berbeza dengan negara-negara luar yang menjadikan e-sukan sebagai kerjaya menjana pendapatan lumayan.

Adakah benar e-sukan boleh dijadikan sumber pendapatan utama?

Jawapannya adalah benar.

Ia terbukti apabila tular di laman sosial, seorang suri rumah mampu meraih pendapatan RM18,000 sebulan hanya dengan permainan e-sukan ini.

Jadi adakah bukti sebegini tidak cukup untuk meyakinkan masyarakat bahawa jika individu memilih untuk berada di platform yang betul ia bukan satu perkara yang mustahil.

Selain itu, e-sukan ini juga popular dalam kalangan pelajar universiti dan mereka juga memberikan respons yang sangat menggalakkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REV Media, Rafiq Razali, pihak mereka sudah menjalinkan kerjasama erat dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak lebih dua tahun lalu menerusi kejohanan e-sukan yang diadakan dalam kampus.

Di samping itu, ia juga membawa satu mesej bahawa kita mempunyai bakat baharu dari seluruh negara dan perlu digilap supaya menjadi lebih hebat dan berjaya.

Bakat itu juga boleh membantu mengharumkan nama institusi pengajian tinggi masing-masing.

Dalam hal berkaitan, Sarawak juga tidak ketinggalan menganjurkan kejohanan e-sukan di samping menggalakkan masyarakat khususnya belia dan remaja mengisi masa lapang dengan aktiviti tersebut.

Baru-baru ini, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah menjalinkan kerjasama dengan agensi yang lain untuk menjayakan program SAMArindok PUBG Mobile SARAMEDIAAKYBMS 2020 secara langsung di laman Facebook mereka.

Program itu juga telah disempurnakan secara dalam talian atau secara langsung oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu bahawa permainan video seperti Pubg Mobile bukan hanya hobi semata-mata tetapi boleh dijadikan sebagai kerjaya untuk menjana sumber pendapatan.

Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan latihan yang gigih dan efisien serta menguasai segala aspek kemahiran yang diperlukan.

Jadi, apakah pilihan penggemar permainan video?

Adakah anda akan membuang masa dengan bermain sahaja ataupun akan mengembangkan bakat dan kemahiran dengan menyertai platform yang betul?

Tepuk dada, tanya selera.