KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing mengingatkan Datuk Seri Wong Soon Koh untuk berhenti berbohong mengenai hal-hal pembangunan kepada rakyat di Baleh dan Kapit.

Katanya, segala dakwaan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu adalah tidak benar kerana pembangunan infrastruktur seperti jalan raya di Baleh dan Kapit sudah dalam pembinaan.

“Saya berada di Rumah Jimbun di Baleh bersama-sama Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak dan saya diberitahu oleh mereka yang menghadiri majlis Soon Kong di Tunoh, Baleh, bahawa dia dan kumpulannya ditipu untuk mengambil gambar di jalan lama yang terpakai di Tunoh.

“Sedangkan jalan baharu yang sedang dibina berada di bukit lain,” tegasnya dalam kenyataan semalam.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, dalam perjalanan ke Tunoh, Soon Koh dan kumpulannya tanpa sengaja melalui Jambatan Batang Baleh dan Sungai Mujong dan jalan raya yang dibina oleh Kerajaan GPS.

“Beliau (Soon Koh) mendakwa tidak ada pembangunan di Baleh.

Mengenai hal ini Soon Koh ditangkap berbohong oleh penduduk di Baleh dan Kapit.

“Mereka tahu beliau tidak melakukan apa-apa terhadap infrastruktur di Bawang Assan setelah 30 tahun sebagai wakil rakyat.

“PSB tersesat dan mereka menganggap mereka di sana (di Sungai Tunoh). Yang baru dibina ialah jalan menuju Sungai Tunoh,” katanya.

Beliau yang juga Adun Baleh menggambarkan Soon Koh sebagai seseorang yang pandai berbohong.

“Inilah yang terjadi, “Enti nda bula. Enda menang ” (jika tidak berbohong, tidak menang),” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, Soon Koh telah mendakwa bahawa jalan raya di Baleh dalam keadaan menyedihkan.

Membalas kenyataan itu, Masing berkata, Jalan Nanga Mujong dan Nanga Sepanggil-Tunoh sedang dalam pembinaan dan oleh sebab itu keadaan yang buruk adalah normal.

Katanya, hampir RM3 bilion diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur di Baleh.