KAPIT: Kerajaan Sarawak di bawah GPS akan terus memberi keutamaan terhadap kepentingan Sarawak, jelas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu beliau berhasrat ingin membangunkan sekolah antarabangsa di Sarawak.

Apabila mereka di Semenanjung Malaysia mendengar usaha tersebut jelasnya, ada yang ingin bertengkar mengenai perkara ini.

“Saya ingin katakan bahawa dalam isu pendidikan, kita memiliki hak seperti yang dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Kapit Town Square di sini semalam.

Jelasnya, itulah sebabnya mengapa kita mempertahankan dan melindungi hak kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk kepentingan rakyat.

“Sama halnya dengan Petronas mengenai cukai jualan negara (SST), saya tidak peduli, saya pergi ke mahkamah dan menuntut Petronas kerana itu adalah hak kita.

Mereka mesti membayar SST kepada kita dan akhirnya keputusan membuktikan bahawa kita berhak,” katanya lagi.

Beliau juga bersyukur kerana Sarawak merupakan negeri yang damai dan harmoni.

“Marilah kita bersama-sama terus menjaga perpaduan bagi memastikan Sarawak akan terus maju.

“Jangan risau, kami di GPS mempunyai pengalaman, kami dapat mengubah Sarawak menjadi sebuah negeri moden menjelang 2030, dan kita akan terus bersatu padu dan berlaku adil kepada semua kaum,” ujarnya.