SIBU: Masjid Al-Qadim di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini bukan sahaja melambangkan kewujudan masyarakat Islam atau Melayu tetapi juga melambangkan syiar Islam di bandar ini, kata Menteri Muda Pendidikan, Sains Dan Penyelidikan Teknologi Dr. Annuar Rapa’ee.

“Masjid ini begitu signifikan dengan sejarah Islam di Sarawak,” katanya ketika berucap sempena lawatan isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang di Masjid Al-Qadim di sini, semalam.

Menurut Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam merangkap Adun Nangka itu, masjid berkenaan kini sedang dibaik pulih dan akan disiapkan secepat mungkin.

Katanya, bangunan tersebut mempunyai empat tingkat yang akan dibahagikan kepada bilik galeri, bilik seminar untuk majlis ilmu termasuk pejabat Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) dan bilik para imam.

Annuar juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Islam di Sibu kerana telah mewakafkan dua buah pintu besar untuk masjid ini yang akan berbentuk seperti pintu Masjid Nabawi.

Masjid Al-Qadim dibina pada 1861 dan berusia lebih 100 tahun.

Sebelum lawatan ke Masjid Al-Qadim, Juma’ani terlebih dahulu melawat kubur saudaranya di kawasan Perkuburan Islam bersebelahan masjid tersebut.

Turut diadakan taklimat berkaitan perkembangan pemuliharaan dan hiasan dalaman Masjid Al-Qadim oleh wakil dari Syarikat Cakah Urusharta.