SIBU: Empat kerusi SUPP di Sibu sangat penting bagi memastikan lebih banyak lagi pembangunan di kawasan tersebut.

Oleh itu, Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mahu SUPP merampas semula empat kerusinya yang disandang oleh pembangkang di sini.

Empat kerusi tersebut ialah Dun Bawang Assan yang disandang oleh Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh, Dun Bukit Assek (Irene ChangDAP), Dun Pelawan (David Wong-DAP) dan Dun Dudong (Datuk Tiong Thai King-PSB).

“Keempat-empat kerusi tradisi kita ini merupakan tonik kepada tonggak pembangunan di Sibu.

“Namun ia jatuh kepada pembangkang yang menyebabkan tidak banyak pembangunan yang dapat kita rancang di sini sejak empat ke tiga tahun lalu.

“Oleh itu, saya menyarankan ahli parti khususnya SUPP untuk terus bekerja keras bagi memastikan kerusi tersebut dapat kita rampas bagi memudahkan kita membawa lebih banyak lagi pembangunan kepada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya berucap ketika melancarkan Majlis Perasmian Bilik Gerakan SUPP Pelawan di Ibupejabat SUPP Sibu di sini, semalam.

Dr Sim menyifatkan kemenangan SUPP di keempat-empat kerusi tersebut kelak amat perlu untuk menyatukan kuasa dan kedudukan SUPP dalam Kerajaan Negeri.

“Dengan perwakilan yang lebih besar, kita akan mempunyai pendapat yang lebih kuat dalam kerajaan dan yakinlah, rakyat Sibu pasti akan melihat pembangunan yang lebih besar akan datang setelah SUPP memenangi keempat-empat kerusi Dun,” tegas Adun Batu Kawah itu lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebelum ini pernah dimaklumkan SUPP sudah diberi mandat untuk memperkembangkan Sibu sekitar 20 hingga 30 tahun yang lalu, namun tidak banyak yang menjadi kenyataan.

“Saya berjanji akan membawa pembangunan yang lebih besar ke Sibu sekiranya kita berjaya merampas kembali keempat-empat kerusi tersebut,” jelasnya lagi.

Sementara itu, beliau percaya Sarawak akan menjadi negeri yang kaya dan berkuasa antara tahun 2023 dan 2025.

Katanya, secara amnya perpaduan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama dalam kalangan rakyat Sarawak menjadi kekuatan arah masa depan negeri Sarawak.

“Oleh itu, kita harus berada dalam kerajaan sehingga kita dapat menggunakan peruntukan dengan efektif untuk membawa pembangunan ke kawasan masing-masing,” jelasnya.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Adun Sadong Jaya Aidel Lariwoo; Adun Stakan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.