BINTULU: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak komited untuk terus
membantu mempromosi sektor pelancongan dalam negeri ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting berkata, ke arah usaha tersebut, kementerian berkenaan akan mengenal pasti beberapa pengendali program inap desa di negeri ini bagi membantu mereka mempromosikan kampung atau rumah panjang masing-masing.

Menurutnya, pendekatan tersebut antara langkah bijak yang diambil(kementerian) untuk menggalak penduduk bercuti dalam negeri yang dilihat lebih selamat sekali gus mengurangkan risiko jangkitan wabak pandemik itu.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pelancongan Negeri, di sini, hari ini, Sebastian berkata program inap desa merupakan antara program terbaik yang menjadi pilihan warga tempatan sekiranya bercuti.

Pada masa yang sama, Adun Senadin itu menggesa pengusaha inap desa untuk berdaftar dengan kementerian berkenaan bagi membolehkan bantuan sewajarnya diberikan kepada mereka dari masa ke masa.

Katanya, Kerajaan Sarawak menerusi kementerian berkenaan juga akan sentiasa memastikan setiap pengusaha inap desa tempatan mendapat manfaat dari industri pelancongan dalam negeri terutama dalam meningkatkan pendapatan mereka ke arah yang lebih baik.

“Tidak dapat dinafikan bahawa industri pelancongan di negeri ini terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda hampir seluruh dunia pada masa sekarang, yang mana kementerian kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan industri pelancongan tempatan terus hidup dan mewujudkan situasi menang-menang antara pelawat tempatan dan pengusaha pelancongan,” ujar beliau.

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Hii Chang Kee, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Abdul Mutalib Abdul Rahman, wakil Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Haji Salleh Askor dan Baharuddin Nordin dari Pelancongan Malaysia hadir sama.