KANOWIT: Penduduk pedalaman di Nanga Ngungun Ngemah kini menikmati perubahan hidup yang lebih baik hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak Adun Ngemah, Alexander Vincent berkata, perubahan sosial ekonomi penduduk yang dahulunya dikenali kawasan penempatan semula Rascom itu, merupakan satu legasi kejayaan kerajaan yang prihatin menjaga keselamatan dan ketenteraman rakyat.

Selepas 50 tahun katanya, komuniti dalam kawasan itu berkembang, manakala rumah panjang dan penduduknya juga meningkat.

“Kalau dahulu kawasan ini cuma dapat dihubungi melalui pengangkutan sungai dan agak jauh dari pekan Kanowit.

“Sekarang Nanga Ngungun telah dihubungkan dengan jalan raya yang secara langsung memudahkan pergerakan penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya pada majlis bersama-sama rakyat sempena konvoi bermotosikal ke Kapit, semalam.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari yang mengetuai rombongan kembara bermotosikal itu, berkesempatan singgah untuk meluangkan masa bersama-sama rakyat di Nanga Ngungun.

Sehubungan itu, Alexander berkata, antara kemudahan yang disediakan kerajaan di kawasan berkenaan ialah bekalan air bersih, elektrik, klinik kesihatan, sekolah dan dewan serbaguna.

Pada masa yang sama katanya, terdapat dua projek yang sedang dalam pelaksanaan iaitu Jalan Bypass Song Kapit dan stesen pertanian.

Menurutnya, terdapat 24 buah rumah panjang dengan jumlah penduduk seramai 4,647 orang di kawasan Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun.

“Pertambahan penduduk sudah pasti memerlukan lebih banyak infrastruktur dan kemudahan sosial untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Saya dan rakyat di kawasan ini percaya, menaruh harapan tinggi di bawah kepimpinan Ketua Menteri dan Kerajaan GPS untuk terus membangunkan Nanga Ngungun, Nanga Tada, Nanga Jagau, Kabah dan Ngemah sebagai kawasan yang boleh kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak dengan memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian komersial,” tambahnya.