BAU: Empat lelaki dan tiga wanita menghadapi detik cemas setelah dipercayai terperangkap akibat aliran sungai deras di laluan peringkat pertama Adis Buan Resort, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 6.17 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau ke lokasi bagi operasi menyelamat.

Menurutnya, laporan awal mengesahkan terdapat tujuh individu berusia lingkungan 20 hingga 65 tahun masih tidak pulang ke resort selepas masuk ke hutan untuk melakukan aktiviti riadah.

Katanya, operasi pencarian dan menyelamat mengambil masa hampir empat jam sebelum pasukan operasi berjaya menemui kesemua di kawasan laluan peringkat pertama Adis Buan Resort terbabit.

Dedahnya, ketiadaan litupan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan(GIRN) dan talian rangkaian telefon bimbit di lokasi menyukarkan pihaknya untuk berkomunikasi dan mengesan lokasi sebenar keberadaan mangsa.

“Pada jam 9.30 malam, kesemua mangsa berjaya dijumpai dalam keadaan selamat di Stage 1.

“Pasukan operasi mengambil masa 45 minit dengan merempuh denai dalam keadaan hujan renyai untuk tiba di lokasi,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati kesemua mangsa ditemui dalam keadaan keletihan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, pasukan operasi seterusnya bertindak membawa keluar mangsa dari hutan terbabit.

Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 1.02 awal pagi.

Terdahulu katanya, kejadian di lokasi sama pernah berlaku membabitkan 11 mangsa terperangkap akibat sungai deras pada 24 November tahun lalu.

Kesemua mangsa turut ditemui dalam keadaan selamat.