KUCHING: Tarikh baharu sekatan pergerakan antara negeri Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan akan berkuat kuasa mulai 12 Oktober, jam 12.01 tengah malam hingga 25 Oktober.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan ramai penumpang yang bakal terkandas akibat kesuntukan masa membuat perubahan kepada jadual perjalanan mereka.

“Saya diberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri bahawa pergerakan antara negeri Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan akan berkuat kuasa mulai ini.

“Setelah berbincang dengan Ismail, saya membuat keputusan untuk memberi lebih banyak masa sebelum sekatan ini dilakukan,” katanya dalam ucapan perutusan khas yang disiarkan secara maya sebentar tadi.