KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak komited membuat persediaan untuk menghadapi banjir di negeri ini.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berkata, mereka sentiasa memastikan segala peralatan menyelamat, seperti tali, bot dan Peranti Pengapungan Peribadi (PFD) sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

“Kami juga mengadakan latihan berkaitan dengan tugas menyelamat, pengendalian bot dan peralatan menyelamat.

“Selain itu, kami juga mengehadkan cuti pegawai dan anggota sebanyak 20 peratus,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Tambahnya, mereka juga mengadakan rondaan dan pemantauan berkala di kawasan berisiko banjir, termasuk pemantauan melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain aplikasi sosial.

“Kami sentiasa mengatur pergerakan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) dalam persediaan menghadapi bencana.

“Perbincangan dan mesyuarat dengan agensi kerajaan di peringkat daerah juga diadakan untuk penyelarasan kerja dan sebagainya,” ujar beliau.

Menjelas lanjut strategi baharu yang dilakukan ketika Covid19, mereka kini menjalankan kerja sanitasi ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum dan selepas digunakan.

“Sehubungan itu, saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya bersedia dan mengetahui apakah tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir, terutama kawasan yang berisiko tinggi.

“Pangkalan hadapan dan PPS telah disediakan tetapi mereka perlu peka dan memberikan kerjasama dengan agensi kecemasan,” tegasnya.

Beliau juga mendedahkan, latihan pemantapan yang melihatkan kumpulan khas turut diadakan bagi untuk mengukuhkan pasukan ketika menghadapi bencana.