JAKARTA: Indonesia mencatatkan 4,056 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes keseluruhan di republik itu kini 311,176.

Berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia dalam laman twitter rasminya @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 140,305 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 121 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 11,374 orang.

“Provinsi Jakarta masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 80,979 kes, dengan tambahan 1,107 kes baharu,” mengikut data di laman twitter tersebut.

Data tersebut turut menunjukkan, Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 3,325 orang, diikuti Jakarta (1,802), Jawa Tengah (1,457) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

— BERNAMA