KUCHING: Dua lelaki yang mengaku sebagai penghantar bekalan dadah kepada pelanggan ditangkap polis di tepi jalan berhampiran sebuah kilang di Jalan Tapak Perindustrian Genesis Sungai Moyan, semalam.

Kedua-dua keldai dadah terbabit gagal meloloskan diri setelah diserbu sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah Padawan sekitar jam 3.15 petang di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, ketika ditahan salah seorang suspek mengaku hanya menjadi penghantar barang kepada bekalan dadah yang ditinggalkan oleh pengedar dikenali sebagai ‘Peng’ ke lokasi tertentu untuk dihantar kepada pelanggan.

“Kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 18 dan 23 tahun.

“Setelah disiasat salah seorang daripadanya mengaku mengambil barang yang dibuang oleh Peng di kawasan terbabit manakala suspek kedua sekadar menemaninya ke lokasi berkenaan.

DADAH… bekalan kristal seberat 52.70 gram berjaya dirampas hasil tangkapan terhadap kedua-dua suspek

“Hasil rampasan terdiri daripada satu plastik berwarna hitam dan satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal dianggarkan seberat 52.70 gram,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, modus operandi aktiviti terbabit adalah dengan meninggalkan barangan kes ke lokasi sebelum diambil oleh keldai dadah yang menaiki motosikal untuk diedarkan kepada pelanggan.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan tidak pernah ditangkap oleh pihak polis sebelum ini.

Susulan itu katanya, suspek yang kini ditahan di lokap balai polis Siburan akan dihadapkan ke Majistret Kuching untuk permohonan reman.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, pihaknya kini turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pengedar terlibat dikenali sebagai Peng.