KAPIT: Sebuah syarikat antarabangsa menunjukkan minat untuk melabur dalam perusahaan menghasilkan gas hidrogen di Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, syarikat tersebut akan menghasilkan gas hidrogen untuk dibeli semula oleh negara asal syarikat, sebagai bahan bakar yang bersih dan hijau.

Abang Johari bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat menyatakan nama syarikat tersebut sekarang ini kerana ia disenaraikan sebagai syarikat awam.

“Ekonomi hidrogen merupakan satu lagi sumber hasil bagi Sarawak kerana pengeksportan gas tersebut boleh dikenakan cukai jualan (SST) seperti yang dikenakan terhadap minyak mentah dan produk gas.

“Sarawak mempunyai kuasa untuk mengenakan SST seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pembukaan rasmi Jambatan Nanga Mujong sekitar 45 minit menggunakan kenderaan darat dari Kapit, semalam.

Beliau turut menekankan bahawa kuasa sudah diiktiraf oleh mahkamah apabila Sarawak menang ke atas Petronas di mahkamah dan membayar RM2.95 bilion kepada Sarawak.

“Inisiatif syarikat tersebut berkemungkinan ekoran negara berkenaan yang ingin berhijrah daripada penggunaan tenaga nuklear kepada penghasilan tenaga yang lebih selamat,” jelasnya.

Mengenai projek jambatan tersebut dan pelbagai projek infrastruktur di kawasan Baleh, beliau berkata, ia adalah bukti wakil rakyat tempatan telah berusaha gigih untuk membawa pembangunan ke kawasan mereka.

Terdahulu Abang Johari tiba di tapak pembinaan jambatan dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi dari bandar Kapit.