SIBU: Setiausaha Agung Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Julius Enchana mempersoalkan adakah istilah Dayak telah diiktiraf dan diwartakan?

Katanya, ia kerana isu ini nampaknya belum diselesaikan dan memerlukan perhatian serius Ahli Parlimen Dayak. “Harus ada pindaan perlembagaan untuk mencerminkan hal ini. Kami akan terus mendesak agar istilah “Dayak” diberikan pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Menurut Julius, perkara ini juga telah dinyatakan oleh Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan yang juga Adun Balai Ringin bahawa perkara itu akan diperbaiki melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“PBDSB sebagai sebuah parti politik yang mewakili komuniti Dayak ingin tahu apa hasilnya.

“Ini penting untuk diketahui kerana berkaitan dengan pengiktirafan kaum kerana orang Dayak memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia terutama Tun Jugah,” katanya.

Dalam pada itu, Julius juga mendesak untuk meningkatkan sistem mahkamah Bumiputera di Sarawak agar setaraf dengan mahkamah sivil dan syariah.

Selain itu, katanya ombudsman parlimen harus diwujudkan untuk menyiasat dan mengadili kesalahan oleh pemimpin kerajaan dan mengelakkan perbelanjaan berlebihan dalam kempen pilihan raya.