KAPIT: Kawasan pedalaman Sarawak akan mendapat peruntukan pembangunan tambahan selepas Pilihan Raya Ke-12 (PRN-12) sekiranya Kerajaan GPS mendapat mandat baharu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, kawasan pedalaman, khususnya Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) harus menjadi sebahagian daripada arus utama pembangunan Sarawak dan perlu terus dimajukan terutamanya dari aspek infrastruktur.

“Peruntukan sedia ada untuk URDA ialah RM1.5 bilion bagi tempoh dua tahun. Kemungkinan untuk tahun-tahun berikutnya peruntukan dalam jumlah yang sama akan dipertimbangkan,” katanya dalam Majlis Jamuan Bersama Masyarakat di Dewan Suarah di sini malam kelmarin.

Sementara itu, Abang Johari menggariskan beberapa projek infrastruktur besar di kawasan Baleh yang sedang dan akan dilaksanakan, yang sebahagian besarnya dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

Ia termasuk, jalan akses ke Empangan Baleh bermula dari Jambatan Nanga Mujong sepanjang 73 kilometer dengan kos RM1.2 bilion (sedang dilaksanakan); Jalan raya Nanga Sepanggil/Tunohdiluluskan RM600 juta; dan Jalan raya Rh. Nyamok/Ng. Serau/Nanga Gaat/SMK Baleh/Sg. Kain dalam dua fasa-RM550 juta diluluskan untuk pelaksa-naan dalam RMK-12.

Selain itu, Jambatan Batang Baleh, Jambatan Sungai Banyau, Sungai Mujong siap dengan kos RM123 juta, dan Jambatan Sungai Merirai berjumlah RM2.3 juta.

Beliau menjelaskan, pembangunan infrastruktur di Kapit amat ketara dalam masa tiga tahun sejak 2017 setelah kawasan tersebut diletakkan di bawah bidang kuasa URDA.

Terdahulu, Abang Johari tiba Kapit selepas mengharungi perjalanan 110 km dengan motosikal berkuasa tinggi dari Sibu Jaya melalui pekan Kanowit, Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun dan Pekan Song.

Menceritakan pengalaman melalui jalan raya dari Sibu ke bandar Kapit, beliau mengibaratkan pemandangan yang indah khususnya apabila menghampiri Kapit seperti di Cape Town dengan kehijauan dan keadaan muka bumi yang berbukit.

“Saya percaya alam semula jadi yang menarik ini berpotensi menjadi latar belakang pembikinan filem dengan menggunakan bakat tempatan.

“Sarawak sudah mempunyai stesyen TV sendiri yang akan mula bersiaran pada 10 Oktober ini.

Jadi, ia boleh menjadi platform untuk memasarkan produk kreativiti rakyat Sarawak,” ujar beliau.