SERIAN: Hampir 100 peratus kawasan masyarakat kaum Bidayuh di Lundu, Bau, Penrinssen, Padawan hingga Serian kini sudah disediakan dengan kemudahan asas bekalan air dan bekalan elektrik.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Micheal Manyin Jawong menjelaskan sekarang ini hampir 100 peratus kampung masyarakat kaum Bidayuh sudah dapat dihubungi dengan kemudahan jalan raya berturap.

“Ini adalah satu keistimewaan dan kelebihan bagi kaum Bidayuh, kalau tanya kaum Iban dan kaum lain masih ada yang belum ada bekalan air, elektrik dan jalan raya berturap.

Ini kerana saya pernah menjadi Menteri Kerja Raya (Sarawak) dahulu,” katanya ketika merasmikan Karnival Sukan Saberkas Tebedu 2020, Jalan Jenan/ Pichin dan Dewan Komuniti Kampung Jenan, di sini, semalam.

Manyin yang juga Adun Tebedu berkata, hanya bandar di kawasan kaum Bidayuh termasuk Serian yang masih ketinggalan jika dibandingkan dengan bandar lain seperti Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

Beliau juga mendedahkan populasi kaum Bidayuh sekarang ini ialah 220,000 orang dan ia membabitkan lapan peratus daripada keseluruhan penduduk di negeri ini.

“Kalau lapan peratus, maknanya Bidayuh merupakan kaum minoriti.

Namun kita mesti sama maju dengan kaum majoriti dan sama-sama menikmati pembangunan,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, dari segi politik, kaum Bidayuh menyertai banyak parti politik dan berharap mereka memberi sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).