MIRI: Adun Telang Usan, Dennis Ngau menyeru masyarakat Penan supaya terus memperkukuhkan perpaduan dan jalinan hubungan.

Beliau menegaskan, mengekalkan perpaduan serta memberikan kerjasama kepada Kerajaan Sarawak penting dalam usaha untuk pembangunan secara berterusan.

“Saya gembira mengatakan bahawa ada perubahan besar dalam sikap orang Penan terhadap kehidupan hari ini yang menekankan perpaduan dan menyokong kepemimpinan negeri,” katanya ketika berucap pada Karnival Sukan Saberkas di Long Latei, pada Ahad.

Katanya, kaum Penan perlu melihat dan mencontohi masyarakat atau komuniti kaum lain yang lebih progresif di sekeliling.

“Mari kita bekerja lebih keras untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Telang Usan, baik dari segi infrastruktur, kemudahan, ekonomi, sosial dan kepercayaan kita kepada Tuhan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dennis berharap rakyat tidak membuang masa dengan mendengar segelintir pihak yang tidak membawa sebarang faedah, sebaliknya menyokong pihak kerajaan yang jelas membawa banyak pembangunan kepada masyarakat hari ini.

“Saya tahu, tiada kampung Penan di Telang Usan yang tidak mendapat bantuan kerajaan atau ketinggalan dari segi projek pembangunan,” tambahnya.

Oleh itu, Dennis menekankan, sokongan rakyat kepada Kerajaan Sarawak penting kerana pelbagai pembangunan dalam perancangan telah disusun, lebih-lebih lagi dalam kawasan beliau sendiri.

“Walapun pencapaian setakat ini membanggakan tetapi masih banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk Telang Usan. “Dan ini hanya dapat dilaksanakan sekiranya kawasan Telang Usan terus kekal dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai pemerintah negeri.

“Tiada pembangunan yang dapat dicapai dalam sekelip mata seperti yang dijanjikan oleh parti-parti pembangkang, tetapi ia memakan masa kerana pembangunan memerlukan perancangan dan sejumlah dana yang besar,” ujarnya.

Karnival sukan selama dua hari itu disertai oleh 10 kampung Penan iaitu Long Bangan, Long Kevok, Long Lilim, Long Liwek, Long Tepen, Long Tujang, Long Jenalong, Long Iman dan Long Latie. Turut hadir berucap pada majlis itu ialah Ketua Kaum (KK), Jangin Duwin.