KUCHING: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bintawa dan Persatuan Kepolisan Komuniti Sarawak (SCPA) melancarkan ‘kumpulan WhatsApp’ yang diberi nama Pengawal Keselamatan Komuniti Bintawa.

Setiausaha SCPA, David Hii Chin Loung berkata, kumpulan WhatsApp’ itu ditubuhkan ekoran berlaku kes pecah rumah dan kecurian di sekitar kawasan perumahan di Bintawa baru-baru ini.

“Oleh itu, tujuan ‘kumpulan Whatsapp’ adalah untuk penduduk tempatan di Bintawa berkongsi maklumat dan saling memberitahu tentang orang-orang atau aktiviti mencurigakan di sekitar kawasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, maklumat berkenaan dikongsi dalam ‘kumpulan WhatsApp’ sangat penting kerana memberi kesedaran dan membantu mencegah berlakunya jenayah.

“Memiliki ikatan kemasyarakatan yang kuat juga dapat mencegah berlaku kegiatan jenayah pada masa yang akan datang terutamanya di kawasan kejiranan,” tegasnya.

Sementara itu, anggota SCPA Bintawa juga telah menyebarkan risalah pencegahan jenayah kepada penduduk Bintawa untuk mempromosikan lebih banyak kesedaran pencegahan jenayah dalam kalangan masyarakat setempat.

“Ketua JKKK Bintawa, Kapitan Tay Kim Geok juga menyokong dan juga mendorong lebih banyak penduduk kawasan perumahan bergabung dengan SCPA untuk turut serta dalam kegiatan rondaan di sekitar kawasan mereka.

“SCPA ingin mendorong lebih banyak kerjasama penduduk untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat mereka,” ujarnya.