KUCHING: Nadi Sarawak merupakan Skim Takaful yang direka khas untuk memperkasakan kebajikan anggota atau ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengarah Urusan Mossuri Takaful Services, Sharifah Nor Azizah Wan Mustapha berkata, Etiqa General Takaful Berhad dan Etiqa Family Takaful Berhad memberi manfaat untuk kebajikan ahli parti.

“Ini adalah skim takaful kelompok yang julung kali diwujudkan di Sarawak dengan komitmen harga serendah RM68.90 seorang untuk tempoh satu tahun.

“Pelan Takaful kelompok juga menawarkan pakej perlindungan yang sangat komprehensif, bermula dengan kematian, kesan kemalangan, jenayah ragut dan banyak lagi.

“Saya yakin dan pasti, pakej seumpama ini tidak ada dalam pasaran semasa,” katanya pada Majlis Pelancaran Takaful Nadi Sarawak Peringkat N8 Satok kelmarin.

Beliau berkata, Biro Ekonomi Satok juga telah memberikan kepercayaan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama 10 tahun bersama-sama dengan Mossuri Takaful Services untuk program Nadi Sarawak.

“Ini membuktikan kepekaan dan keprihatinan mereka terhadap ahli dalam kawasan mereka sangat tinggi.

“Pihak kami merupakan satu-satunya agensi rasmi yang mengendalikan program Nadi Sarawak di negeri ini dan kami tidak melantik mana-mana individu atau agensi lain untuk melaksanakan program ini.

“Sebagai sebuah syarikat perkhidmatan takaful tempatan (anak Sarawak), kami berharap agar terus mendapat sokongan daripada semua pemimpin masyarakat di Sarawak, terutama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Ekonomi Satok, Kaunselor Dzamaluddin Zainudin berkata, kelebihan skim takaful ini ialah ia melibatkan bayaran sekali sahaja dalam setahun.

“Ia juga terbuka kepada semua ahli parti PBB dan GPS, termasuk pengusaha kecil di seluruh Sarawak,” katanya.

Untuk rekod, program Nadi Sarawak ini bertujuan untuk mengoptimumkan kebajikan setiap ahli GPS dan keluarga mereka; membela ekonomi ahli GPS jika mereka berada dalam keadaan kehilangan pendapatan akibat kemalangan dan kematian dan manifestasi keprihatinan pemimpin masyarakat terhadap kebajikan kewangan dan keselamatan ahli.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas daripada orang awam ataupun Pusat Khidmat Adun GPS di seluruh Sarawak boleh menghubungi talian rasmi Nadi Sarawak, Mossuri Takaful Services di talian 01156225824 atau boleh terus menghubungi Pegawai Komunikasi Korporat mereka Zuhairy Hasif Affendy (0104505824) dan Rahmahtunisa Abdul Satar (0104585824).

Majlis Pelancaran Takaful Nadi Sarawak Peringkat N8 Satok dianjurkan oleh Biro Ekonomi Satok dan Mossuri Takaful Services di Medan Belia Niaga-Kombes, Tepian Gelanggang.

Pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Setiausaha PBB Cawangan Satok, Abdul Samad Gany.