PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menegaskan, aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 9 Oktober nanti pentas terakhir menilai kemampuan pemain Sarawak United FC.

Ia sebagai pentas terakhir melihat keupayaan pemain sama ada disambung kontrak untuk mengharungi musim baharu Liga Malaysia 2021.

“Rasanya ketika ini kita sudah ada bayangan pemain yang tidak akan disambung kontrak untuk musim depan.

“Tetapi tunggu sehingga aksi terakhir menentang Negeri Sembilan berakhir terlebih dahulu,” katanya kepada Suara Sarawak kelmarin.

Beliau sebelum itu berharap pemain dapat menggunakan perlawanan terakhir nanti dengan sebaik mungkin.

Katanya, pemain harus mempamerkan keupayaan sebenar terutama membantu pasukan meraih kemenangan.

Untuk rekod keinginan skuad Sarawak United FC untuk mengubah kedudukan dan mengintai slot bersaing dalam kempen Piala Malaysia tersekat apabila tewas tipis (1-0) ditangan Terengganu FC II di Stadium Negeri, Petra Jaya.