KERAJAAN Sarawak mengambil langkah bijak, dengan menjadikan pertanian sebagai antara sumber ekonomi utama sekarang ini dan pada masa akan datang.

Ia mengambil kira potensi sektor tersebut, bukan sahaja untuk kegunaan rakyat sendiri, tetapi juga untuk tujuan eksport ke luar negara.

Malah ia juga mengambil kira faktor alam semula jadi yang dimiliki Sarawak, misalnya tanah yang subur dan kawasan yang luas.

Beberapa kawasan dikenal pasti sebagai antara “Bakul Makanan” Sarawak seperti di kawasan Serian, Bintangor dan Sarikei. Ini kerana kawasan tersebut amat sesuai untuk pelbagai jenis tanaman yang menguntungkan.

Misalnya durian Musang King yang semakin giat diusahakan sekarang ini. Malah tanaman durian dilihat sebagai amat sesuai untuk diusahakan secara besar-besaran, terutama di kawasan Serian.

Malah kita juga sudah pun mengeksport durian dalam bentuk pes ke China, kerana mendapat permintaan yang cukup tinggi dari negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia itu.

Selain itu, tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan seperti rambutan, nanas, dabai, nangka, manggis, langsat juga sesuai untuk diusahakan dalam skala yang besar.

Oleh itu, ia merupakan peluang terbaik bagi anak Sarawak untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Dalam keadaan sekarang ini, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 sejak pertengahan Mac lalu, agak sukar bagi generasi muda terutama para siswazah untuk mendapatkan pekerjaan.

Jadi, pertanian sebagai antara pilihan terbaik, untuk memulakan langkah ke alam kerjaya. Lagi pula pertanian sekarang ini, bukan lagi kerjaya yang meletihkan, berpeluh sepanjang masa dan sentiasa kotor, namun sektor ini telah pun mengalami transformasi hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia telah pun bergerak, seiring dengan kemajuan teknologi semasa, yang bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga mampu mengeluarkan hasil yang berlipat kali ganda.

Foto Bernama

Jadi inilah peluang keemasan bagi siswazah kita untuk menerokainya. Pada masa yang sama, kerjaya ini juga akan membuka peluang kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan, untuk terlibat sama.

Ini kerana sektor pertanian mempunyai pelbagai cabang tugas yang boleh dimanfaatkan golongan penganggur, tanpa mengira usia dan latar belakang akademik.

Sementara itu, bagi pihak yang bertanggungjawab terhadap bidang ini, penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dipergiatkan dari semasa ke semasa, dalam usaha kita untuk menambah baik sektor ini.

Misalnya dalam aspek mempercepat pengeluaran hasil, dan berupaya mengeluarkan hasil yang banyak dalam sesuatu masa. Malah ia juga menjurus kepada kualiti tanaman yang diusahakan.

Oleh itu sokongan pihak luar, terutama organisasi korporat yang berjaya amat diperlukan untuk tampil bersama, membantu memperluas sektor ini, terutama dari segi kos penyelidikan untuk jangka pendek dan panjang.

Di samping itu, usahawan tani juga perlu sentiasa menimba ilmu melalui kursus atau khidmat nasihat. Ini kerana pertanian zaman ini memerlukan pengetahuan yang tinggi dari segi teori mahupun praktikal.

Yang pasti, sektor pertanian yang diusahakan dengan betul dan gigih menjanjikan pulangan ekonomi yang cukup lumayan dan sentiasa mempunyai masa depan yang cukup cerah.