KAPIT: Rakyat di negeri ini cukup bijak untuk membuat penilaian dan tahu untuk membezakan antara kepalsuan dengan kebenaran.

Demikian pengakuan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika menangkis dakwaan tidak berasas pihak tertentu, kononnya Bahagian Kapit masih kekurangan pembangunan infrastruktur.

“Ada pihak yang mengatakan Kapit mengalami kekurangan pembangunan.

“Sebaliknya, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dan pasukannya telah melakukan banyak usaha untuk rakyat seperti jalan raya menuju Mujung, Tunoh hingga ke Tapak Empangan Hidroelektrik Baleh,” ujarnya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap dalam lawatan kerja ke Jambatan Nanga Mujung Kapit di sini semalam.

Oleh itu, beliau menasihati rakyat agar tidak mudah terpedaya terhadap dakyah dan berita palsu yang cuba disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, mengenai Empangan Baleh, Abang Johari menjelaskan, ia bukan hanya akan menyediakan hidroelektrik, tetapi juga ladang suria dan hidrogen.

“Ini jenis tenaga dapat diperbaharui yang menjadi fokus dan tumpuan kepada Sarawak,” katanya.

Ahad lalu beliau meluluskan peruntukan RM73 juta untuk dua projek pembangunan di Kapit, iaitu RM58 juta untuk Pusat Warisan Kapit dan RM15 juta untuk Pasar Tani.

Terdahulu Ketua Menteri turut diberi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkembangan projek jalan raya dari Nanga Mujung ke Tunoh dan tapak Empangan Hidroelektrik Balleh.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Muda Utiliti Datuk Liwan Lagang, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak, Residen Kapit Residen Nyurak Keti dan pemimpin masyarakat.