KAPIT: Pengurusan kewangan dan sumber yang baik oleh Kerajaan Sarawak membolehkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, melalui pengurusan kewangan yang baik dapat membantu mempercepatkan rentak pembangunan di tiga kawasan.

“Saya dapat mewujudkan agensi pembangunan tambahan seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dengan sejumlah RM12 bilion dana permulaan untuk pembangunan di tiga kawasan tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat di Dewan Suarah Kapit malam semalam.

Abang Johari berkata, ia bertentangan dengan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan Sarawak akan muflis pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata, bagi URDA, sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan, sebagai bukti bahawa Kerajaan Sarawak mempunyai dana untuk kesejahteraan rakyat.

“Saya bersyukur kerana jalan raya 110 kilometer dari Sibu ke Kapit akhirnya siap dan masyarakat Kapit tidak lagi terpencil,” ujarnya.

Beliau menambah, orang ramai kini boleh mengunjungi Kapit kerana ia hanya mengambil masa dua jam dari Sibu.

“Ini adalah perkembangan positif kerana ia akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Kapit,” katanya.

Menurutnya, lebih RM3 bilion telah diperuntukkan di sini untuk pelbagai pembangunan infrastruktur di kawasan Mujung, Tunoh dan Baleh.

“Kita tidak mempunyai masalah untuk menambah dana pembangunan. Selagi saya masih menjadi Ketua Menteri saya mempunyai perancangan untuk negeri ini,” jelasnya.