PEMBANGUNAN sesuatu kawasan, terutama di luar bandar memerlukan rangkaian jalan raya yang baik bagi memudahkan sistem perhubungan. Malah ia memainkan peranan penting untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di sekitarnya.

Oleh itu, kewujudan Recoda dilihat sebagai pendekatan strategik Kerajaan Sarawak ke arah memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri ini.

Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Recoda, Datuk Ismawi Ismuni, fokus pihaknya ialah merancang pelan pembangunan yang mampu membawa limpahan kemajuan dan impak ekonomi ke kawasan berkaitan.

“Dalam mencapai matlamat itu, perkara asas yang perlu kita berikan perhatian ialah rangkaian perhubungan iaitu sistem jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik.

Ini penting dalam menarik pelaburan ke kawasan berkenaan,” katanya.

Apa yang kita lihat pada masa ini, terdapat jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar di Sarawak. Ini kerana masih ada kawasan di luar bandar yang belum mempunyai rangkaian jalan raya yang baik.

Misalnya di kawasan utara Sarawak, pembangunan yang agak perlahan disebabkan kurangnya jaringan jalan raya yang baik terutama di kawasan pedalaman.

Walaupun kawasan utara mempunyai tanah yang subur dan hasil tani yang banyak, namun sukar untuk dipasarkan ke pusat bandar disebabkan tiadanya jalan raya.

Namun ia bakal berakhir. Barubaru ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan pembinaan projek Lebuh Raya Pesisir Utara dan Jalan Penghubung Sarawak yang akan memacu pembangunan di kawasan tanah tinggi serta luar bandar Limbang dan Lawas.

Ia akan mengubah landskap dan meningkatkan pembangunan masyarakat utara Sarawak. Ia akan memudahkan pemasaran hasil pertanian.

Selain itu ia juga akan merancakkan lagi industri pelancongan di Limbang yang merupakan destinasi popular hujung minggu dalam kalangan pelancong Brunei.

Antara lokasi yang mencuri tumpuan ialah vvLumpur Bebuak dan Gunung Buda. Yang pasti, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin akan keperluan penduduk, terutama di kawasan luar bandar.

Ia membabitkan pelbagai projek pembangunan secara berterusan bagi memastikan jurang perbezaan penduduk bandar dan luar bandar semakin mengecil. Oleh itu, sokongan padu penduduk di utara Sarawak terhadap Kerajaan Negeri sekarang ini amatlah penting, demi pembangunan berterusan.