KUCHING: Sarawak harus mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Sabah jika hendak mengadakan PRN-12 dalam tahun ini, yang menyaksikan jumlah kes Covid-19 semakin meningkat secara mendadak sekarang ini.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata ia memandangkan kebanyakan kes jangkitan Covid-19 adalah berkait dengan PRN-16 Sabah yang selesai baru-baru ini.

“Sekarang bukannya masa yang sesuai berbicara mengenai PRN-12 Sarawak, sebaliknya fokus haruslah diberikan kepada usaha menangani penularan Covid19 ini,” katanya yang dihubungi bagi mengulas mengenai wajarkah PRN-12 Sarawak diadakan dalam waktu terdekat ketika penularan Covid-19 kembali serius melanda negara.

Menurut beliau, antara isu baharu Covid-19 yang perlu ditangani dengan baik ialah melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas.

Katanya keputusan itu disebabkan oleh peningkatan kes Covid-19 yang begitu drastik.

“Beribu pelajar IPT terkandas tidak dapat ke IPT di Sabah dan Semenanjung, begitu juga daripada Semenanjung dan Sabah tidak dapat memasuki Sarawak pada ketika ini.

“Ini merupakan suatu isu baharu yang perlu ditangani dengan baik terutama bila melihat perasaan kecewa dan marah dalam kalangan mereka apabila Kementerian Pendidikan Tinggi terpaksa membuat keputusan drastik begitu berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 yang drastik,” katanya.

Bagaimanapun, Lee berkata perlu diingatkan juga bahawa penggal Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan tamat tidak lama lagi, selewat-lewatnya Jun 2021.

Justeru, katanya adalah normal untuk berbicara mengenai PRN12 Sarawak, malah ia bukannya sesuatu yang baharu kerana sudah lama menjadi wacana awam.

“Begitu juga desas-desus berkenaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) cuma siapa sangka Dun Sabah yang baharu berusia dua tahun setengah pula yang bubar dahulu.

“Kita tidak tahu apakah kes Covid-19 akan bertambah kritikal tetapi buat masa ini jelas Sarawak merupakan wilayah yang paling komited dan efisien dalam mengawal penularan pandemik ini.

“Ia tidak menjadi halangan bagi Sarawak sebagai wilayah terbesar dalam Malaysia kerana adanya peruntukan daripada Kerajaan Sarawak dalam hal ini,” katanya.