PEMBERITA atau wartawan bermaksud orang yang memberitakan atau yang membuat laporan tentang sesuatu perkara atau peristiwa.

Tugas wartawan dalam menyampaikan isu-isu semasa dan perkembangan terkini juga merupakan tugasan yang amat mencabar.

Sebagai wartawan, banyak isu harus dielak untuk memastikan laporan berita yang boleh menyebabkan pertikaian, persengketaan, salah faham dan sebagainya meskipun mempunyai kebebasan bersuara (menulis berita).

Hari ini, bertugas sebagai wartawan bukannya mudah. Berdasarkan pengalaman sendiri, wartawan menghadapi pelbagai cabaran ketika membuat liputan media, menulis berita dan menyunting berita.

Terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian oleh individu bergelar pemberita atau wartawan dalam melaporkan maklumat yang tepat dan betul.

Tidak hanya itu, seorang waratwan juga bertanggungjawab memberikan kesedaran terhadap isu yang dibangkitkan oleh masyarakat dalam setiap berita yang dilaporkan.

Menulis berita secara umumnya perlu menggunakan prinsip piramid terbalik iaitu isu yang baharu atau besar mesti disebut terlebih dahulu atau dijadikan isi penting.

Keutamaan isu ini akan dilanjutkan kepada isu kurang penting sehinggalah berita selesai ditulis.

Melihat kepada tatacara ini, penulisan berita sebenarnya amat berbeza dengan cara penulisan karangan semasa bersekolah dahulu apabila pelajar perlu membuat pengenalan, isi kandungan dan penutupan.

Inilah bezanya. Tidak ramai yang memahami bahawa seorang wartawan harus mencari sesuatu idea yang menarik, bertanyakan soalan yang relevan dan mendapatkan sumber yang sahih.

Wartawan media sosial

Hari ini tugas sebagai wartawan menjadi idaman ramai, hingga wujud wartawan segera di media sosial.

Mereka menulis berita tanpa ada tatacara yang betul.

Biasanya mereka ini menulis berita dengan memetik sesuatu isu daripada akhbar.

Banyak berita yang ditulis mereka salah dan tidak tepat.

Sering kita lihat di media sosial tentang kesalahan yang dilakukan oleh pengguna media sosial berkaitan sesuatu isu.

Apabila ia berlaku, pengguna media sosial atau warganet ini menunding jari kepada pemberita.

Ini mengiakan peribahasa kerana setitik nila, rosak susu sebelanga – disebabkan sikap tidak bertanggungjawab beberapa pihak menyebabkan nama wartawan terpalit kontroversi yang sengaja direka.

Selain itu, media sosial turut menjadi platform untuk warga maya mengetengahkan beberapa pertikaian terhadap sesuatu berita.

Mereka tiada pengetahuan dan pengalaman dalam pemberitaan termasuk penggunaan bahasa yang betul.

Contohnya penggunaan bahasa rojak yang sering digunakan oleh wartawan maya ataupun wartawan media sosial.

Meskipun niat individu tersebut baik, namun cara penyampaian maklumat tersebut tidak sesuai.

Mereka bebas mengubah penulisan, hingga melanggar hukum bahasa.

Malah, ada sesetengah laman blog menggunakan perkataan yang tidak wajar seperti abjad ‘A’ digantikan dengan nombor 4, abjad ‘i’ digantikan dengan nombor 1 dan sebagainya sehingga mengelirukan pembaca.

Impak buruk

Masyarakat kini sedar bahawa maklumat dan penyampaian berita seperti ini memberi impak buruk kepada perkembangan otak kanak-kanak dan remaja yang menjadikan media massa sebagai saluran pembelajaran utama mereka.

Justeru itu, usaha wartawan dalam memberikan maklumat yang sahih, perkembangan semasa dan kesedaran yang berguna harus dihargai.

Paling penting penyampaian berita yang diterbitkan melalui teknik, cara dan bahasa yang betul seperti yang termaktub dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Walaupun berdepan persaingan kerjaya yang kian sengit, wartawan harus tabah untuk bertapak dalam industri ini.

Menjadi pengalaman indah apabila nama kita dipaparkan di dada akhbar sama ada dalam penulisan berita atau rencana.

Wartawan juga harus mempunyai ilmu yang luas agar kekal relevan apabila bertanyakan soalan, membuat tinjauan, menemu bual atau menerjah orang ternama seperti ahli politik, menteri, usahawan, orang ramai dan sebagainya.