MENGEJUTKAN apabila kes positif Covid-19 negara kembali mencecah tiga angka, malah turut mencatat angka tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.

Jumlah itu untuk peringkat negara. Situasi ini agak membimbangkan walaupun jumlah kes jangkitan tempatan dan import di Sarawak masih terkawal.

Rakyat negeri ini masih boleh bebas bergerak ke sana ke sini untuk melakukan aktiviti harian tanpa sebarang sekatan.

Walaupun demikian, jangan alpa kerana musuh utama dunia ini – Covid-19 boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang boleh meledak pada bila-bila masa jika pertahanan utama – penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka tidak dipraktikkan.

Begitu juga dengan keengganan tidak mematuhi arahan larangan pergi ke kawasan ramai, sesak dan sempit.

Ini antara punca kebolehjangkitan berlaku dalam kalangan masyarakat.

Kita harus belajar daripada apa-apa yang berlaku di Sabah. Tidak semena-mena kes jangkitan meningkat mendadak setelah PRN Sabah dilaksanakan.

Rakyat beramai-ramai keluar mengundi, termasuk hadir dalam kempen meraih undi oleh calon parti politik yang bertanding.

Betapa mahal harga untuk meraih kemenangan gara-gara ingin memerintah.

Ramai yang sudah dijangkiti, dan ramai juga yang sudah dikuarantin.

Selain itu, penguatkuasaan rentas daerah turut dilaksanakan di beberapa daerah di negeri berkenaan.

Jadi, rakyat negeri itu tidak lagi bebas bergerak. Tiada lagi ke sana ke sini.

Semuanya gara-gara persengketaan politik antara dua blok – kerajaan dan pembangkang yang telah menjurus kepada PRN Sabah.

Akibatnya, ramai yang sudah dijangkiti Covid-19.

Ini termasuk pemimpin negara – menteri. Menteri lain yang merupakan kontak rapat melalui mesyuarat terpaksa dikuarantin, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah sendiri.

Ini belum lagi mengambil kira pegawai yang bertugas ketika itu.

Kita di Sarawak agak bertuah kerana langkah segera telah dilaksanakan terutama dalam aspek kemasukan ke negeri ini, termasuk melibatkan rakyat Sarawak sendiri.

Malah, Kerajaan Sarawak turut menanggung bayaran kuarantin untuk rakyatnya.

Pun demikian, ia masih belum mencukupi kerana penyertaan setiap penduduk negeri ini masih lagi diperlukan.

Tanpa ada kerjasama, usaha mengelakkan penularan virus ini tidak akan berjaya.

Kuatkan benteng pertahanan – jaga jarak fizikal dan guna pelitup separuh muka. Ini kerana diperhatikan semakin ramai yang hanya meletak pelitup separuh muka di dagu ataupun langsung tidak menggunakannya.

Mereka begitu yakin tiada virus bahaya itu di sekeliling mereka.

Ini termasuk enggan mencatat nama, nombor telefon dan bacaan suhu badan dalam buku rekod pelanggan di kedai, apatah lagi menggunakan imbasan aplikasi MySejahtera, Qmunity dan CovidTrace.

Harus diingat bahawa tindakan kita hari ini mungkin boleh menjurus pelaksanaan PKP semula – sesuatu yang tidak diinginkan oleh sesiapa pun.

Bukan mudah duduk diam-diam di rumah.

Tiada pendapatan, sukar mendapatkan makanan dan mungkin hilang pekerjaan.

Oleh itu, jangan alpa di mana-mana sahaja kita berada kerana Covid-19 ibarat bom jangka.

Bila-bila masa boleh meletup!