LUNDU: Terokai kawasan hutan untuk didokumentasikan, kata Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad pada program Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Pueh 2020, pada Isnin.

Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Pueh 2020 merupakan program yang memberi peluang kepada penyelidik menjalankan kajian di Gunung Pueh.

“Ekspedisi ini membongkar khazanah alam yang terdapat disini dan berharap supaya maklumat yang diperoleh nanti akan digunakan untuk membangunkan perancangan kawasan ini bagi mengurus sumber yang ada di sini.

“Di samping itu, kita ingin mengenal pasti potensi ekopelancongan yang terdapat di kawasan Pueh ini, “ katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Ekspedisi saintifik ini diadakan dengan tujuan untuk mendokumentasikan kepelbagaian biodiversiti hutan seperti flora dan faunanya.

“Ini termasuk persekitaran yang penuh dengan maklumat serta inisiatif jabatan memelihara khazanah hutan yang kaya ini,” katanya.

Menurut Hamden, melalui ekspedisi ini, beberapa spesies dan rekod taburan baharu telah dikenal pasti seperti burung, binatang dan sebagainya.

“Selama ini, banyak ekspedisi telah dilaksanakan di kawasan utara Sarawak seperti Ulu Mentawai dan tempat di sempadan Indonesia. “Kita cuba pergi ke banyak tempat di seluruh Sarawak terutamanya di kawasan Jantung Borneo,” ujar Hamden.

Beliau mahu semua maklumat yang ada di kawasan ini seperti haiwan, tumbuhan, kajian air, tanah, kawasan yang cantik, dikeluarkan dan didokumentasikan.

“Ini kerana perkara seperti ini belum pernah dilihat oleh sesetengah orang dan kita mempromosikan untuk ekopelancongan.

“Kawasan Lundu merupakan kawasan kaya dengan alam semula jadi. Lundu, Sematan dan Tanjung Datu, banyak potensinya,” jelas Hamden ketika merasmikan program Ekspedisi Saintifik Hutan Pueh 2020, disini.

Beliau berharap masyarakat menerima perubahan yang akan dialami nanti. Banyak kawasan yang menarik seperti air terjun dan banyak lagi yang perlu diterokai.

“Gunung Pueh sudah dijadikan sebagai taman negara dan kita cuba meneroka hutan simpannya,” tambahnya. Hamden berkata, bahawa Jabatan Hutan juga mahu membawa idea komuniti hutan pada November nanti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Konsep komuniti hutan ini membolehkan pengunjung masuk ke kawasan hutan tanpa memerlukan permit. “Ia bukan seperti konsep taman negara yang memerlukan permit untuk masuk,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Jabatan Hutan Sarawak giat menganjurkan ekspedisi saintifik di pelbagai pelosok negeri seperti di Lanjak Entimau, Batu Lawi, Payeh Maga, Lawas, Ulu Mentawai, Taman Negara Gunung Mulu dan banyak lagi kawasan sejak 2008 lagi.

Bertemakan Apabila Sains dan Alam Sekitar Bersatu, program itu akan berlangsung selama 13 hari bermula dari 5 sehingga 17 Oktober melibatkan penyertaan seramai 146 peserta.

Ekspedisi saintifik ini merupakan program tahunan yang dianjurkan Jabatan Hutan Sarawak. Hasil penemuan dan dokumentasi biodiversiti dapat diperluas lagi dan digabungkan dengan kajian baharu agar dapat menyerlahkan keunikan dan kekayaan hutan simpan di kawasan Pueh.