KAPIT: Rakyat di Kapit diminta untuk terus memberi mandat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selama lima tahun lagi untuk memimpin negeri ini bagi memastikan projek pembangunan di sini diteruskan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing menjelaskan Abang Johari telah memberi jaminan bahawa beliau akan memperuntukkan dana untuk pembangunan di Kapit, tetapi sebagai balasannya rakyat juga harus memberikan sokongan padu kepada GPS.

“Sehubungan itu, Ketua Menteri akan memberi anda (rakyat Kapit) bantuan yang diperlukan, kita akan menyokong beliau sehingga kita dapat membawa pembangunan lebih jauh ke Kapit dan seluruh Sarawak,” katanya pada Majlis Jamuan Bersama Masyarakat di Dewan Suarah di sini Ahad malam.

Beliau menambah, penduduk di Kapit amat menghargai pelbagai inisiatif Ketua Menteri dan Kerajaan Sarawak untuk membawa pembangunan yang lebih besar ke Kapit.

“Terima kasih banyak kerana membina Jalan Sibu-Kapit sejauh 110 kilometer. Saya yakin masyarakat Kapit akan menghargainya dan apabila tiba waktunya, kami akan membantu anda (Abang Johari), dan memastikan bahawa anda akan berada di sini untuk lima lagi tahun,” katanya lagi.

Masing, yang juga Ketua Badan Pembangunan Rajang Atas (URDA), menjelaskan lagi bahawa pembangunan negeri terbahagi kepada tiga wilayah melibatkan URDA, Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

“Namun, dari segi ukuran, URDA bertanggungjawab mengembangkan wilayah seluas 81,000 kilometer persegi, dan ia adalah sepertiga daripada ukuran Sarawak, dibandingkan dengan HDA meliputi kawasan seluas 18,000 km persegi dan NRDA meliputi kawasan seluas 14,000 km persegi.

“Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak dana untuk mengembangkan kawasan di bawah URDA meliputi RM1.5 bilion seperti yang telah diperuntukkan sebelum ini,” ujarnya. Beliau yang juga Adun Baleh menjelaskan peruntukan RM1.5 bilion itu juga disediakan untuk pelbagai pembangunan lain seperti jalan raya.

“Ini semua diberikan oleh Ketua Menteri untuk kita di Kapit, bagi memastikan kita terus berkembang maju dan tidak lagi ketinggalan,” katanya.