KUCHING: Empat buah premis terdiri dari kedai runcit dan kedai makan dipotong bekalan elektrik disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, satu operasi bersepadu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching yang diketuai oleh Inspektor Mohammad Harun bersama kakitangan Sarawak Energy Berhad antara jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, operasi tersebut dilaksanakan di premis-premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

Dedah Awang Din, mengikut seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan yang munasabah bahawa premis itu menjalankan sebarang aktiviti perjudian,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh tiga hari bermula 4 Oktober 2020 sehingga semalam, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching telah berjaya membuat tiga serbuan ke atas premis-premis perjudian ini.

Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching bersama Sarawak Energy Berhad memotong bekalan elektrik premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen.

“Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana memperuntukan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

“Kesemua sabjek yang ditahan telah direman dan masih dalam siasatan Polis,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran keras kepada pengusaha berkaitan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen.

“Polis akan mengambil tindakan sepertimana yang diperuntukan dalam Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan akan melaksanakan tindakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 ke atas mereka yang terlibat,” tegasnya.

Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching bersama Sarawak Energy Berhad memotong bekalan elektrik premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen.

 

wayar elektrik yang telah dipotong dalam satu Ops Bersepadu di bandar raya ini.

 

wayar elektrik yang telah dipotong dalam satu Ops Bersepadu di bandar raya ini.